Tabung Harapan Ihsan Pelajar Ansara
Pengalaman ANSARA di dalam menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah banyak menyedarkan kami betapa pentingnya pendidikan di dalam menentukan nasib dan masa depan seseorang individu. Realiti hari ini amatlah membimbangkan. Kadar keciciran di kalangan pelajar masih tinggi. Kemiskinan mencengkam. Gejala sosial pula makin merunsingkan.Sesuatu harus dilakukan. Apa yang dicadangkan disini bukanlah bermaksud untuk menyaingi mana-mana program yang bercirikan pendidikan. Adanya program yang akan dijalankan ANSARA ini adalah sebagai tambahan kepada apa yang telah sedia ada.
Hari ini, ANSARA mempunyai hampir 40 ribu ahli yang kesemuanya adalah lepasan MRSM. Mereka bersiap sedia untuk bergerak dan menjayakan misi murni ini. Sebagai golongan yang paling banyak menerima faedah Dasar Ekonomi Baru, ANSARA percaya, sudah tiba masanya untuk membalas kembali jasa kerajaan dengan mempromosikan kepentingan pendidikan kepada masyarakat.
